"Ini adalah nukilanku yang memenangi Anugerah Penulisan Kreatif Kamsis Burhanudin Helmi UKM 1994. Sekadar berkongsi cerita buat peminat penulisan kreatif. Catatan ini juga bermain di radio dengan nama samaran Perindu Sepi KBH"
(Start)
Pantas jejariku menarikan lagu di atas petak-petak huruf meurut irama yang bermelodikan akal. Makin galak ku mengetuk mesin taipku meniti ayat terakhir di atas kertas kerja yang perlu kuserahkan esok. Di luar hujan mencurahkan kedinginan bertingkah dengan irama lagu "The Great Pretender" nyanyian Platters.
Kesunyian malam tiba-tiba mengundang kekosongan dalam diri ini. Desir angin menyelak kasar helaian dedaun lantas menggugurkan bunga-bunga yang kekuningan menyembah bumi. Seperti harapanku yang gugur sebelum berputik. Angin seakan terus-terusan mmbadai menyelak lembaran sejarah yang telah kutinggalkan jauh di belakang. Lantaran itu aku terus mengembara ke alam yang tercicir, menjelajah kembali satu daerah yang bernama memori.
Ingatanku singgah di suatu ketika. dari kubu kota cornwallis menghadap ke selat Melaka, dapat ku saksikan camar-camar putih berterbangn mengejar kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh di demaga air dalam. Kota ini penuh sejarah, pun jua tercatat kenanganku di sini. Lantas bayu selat menyapa membawanya terbang bebas bersama camar-camar nun jauh di angkasa. Aku keseorangan untuk kesekian kalinya.
(Flashback)
Lakaran animasiku memenuhi ruang kertas yang tadinya kosong. Tanpa kusedari aku diperhatikan. Hukum alam tidak menafikan bahawa kemujuran itu menjemput sebuah ikatan yang kian erat dan luhur. Setelah sekian lamanya berada dalam kelas yang sama, sapaan pertama itu membuang segala prasangka bahawa dia adalah insan yang sombong. Satu lagi kemujuran ialah minat kami seiring. Bermodalkan itu kami telah digandingkan utnuk menyiapkan grafik untuk majalah sekolah. Sifatnya yang ceria dan loyar buruk membuatkan aku menyenanginya. Kami sentiasa riang bila bersama.
Berkat gandingan kami dan kegigihan gabungan ilham serta kesenian hasil rekaan kami telah dipertandingkan untuk anugerah "Karyawan Muda Seni Grafik Negeri". Sekolah kami telah berjaya menjuarai hampir keseluruhan 6 kategori yang dipertandingkan pada tahun itu dan muncul juara keseluruhan. Bermula saat itu gandingan aku dan dia dicemburui, mungkin jua kerana kecemerlangan pelajaran atau jiwa-jiwa remaja yang sedang membunga. namun aku bahagia berdamping dengannya setiap hari.
Takdir sudah tersurat, kegembiraan ku itu tiba-tiba dicabut tanpa sebarang kata peringatan. Kejadian itu mengubah terus corak kehidupan orang yang kusayangi itu. Sewaktu mulanya insiden itu berlaku kami sedang mengikuti pelajaran sains di makmal.Dia mengadu kakinya terasa kebas dan mukanya tida-tiba menjadi merah. Mula ku anggap biasa-biasa sahaja. Tiba-tiba badannya tersandar ke dinding dan menggelungsur jatuh ke lantai. Kami lantas memberikan pertolongan kepadanya. Aku lapikkan kepalanya dengan begku yang agak lembut kerana kebetulan akulah yang paling hampir dengannya. Ambulans datang membawanya dengan renungan sayu kami semua.
Hari kedua di hospital aku dan teman-teman menziarahinya tetapi hampa kerana dia masih dalam keadaan kritikal. Akulah insan yang paling hampa kerana bersama ku, ku bawakan sebuah harapan. Hanya Allah yang tahu. Hari-hari seterusnya akulah yang menjadi insan yang tidak pernah gagal mengunjunginya. Atas dasar apakah aku menjadi perindu setia. Berkali-kali ku katakan aku tidak memunyai jawapan untuk soalan itu.
September dia kembali ke arena persekolahan. Akulah insan paling gembira. Biar pun kini dia hanya mampu berjalan dengan bertongkat tetapi aku menerima seadanya. SPM kami jejaki bersama dengan satu harapan menggunung. Seterusnya April kami sambut dengan kesyukuran dengan keputusan yang diimpikan.
Julai memisahkan kami kerana aku mula menjalani kehidupan baru di perbukitan Bangi manakala dia terpilih menjadi warga Minden. Hanyat perjuangannya pendek kerrana atas faktor kesihatan dia terpaksa menarik diri daripada terus mendaki puncak impian kami. Tersenyum bila aku mengingatkan ikrar kami untuk sama-sama hadir ke konvokesyen masing-masing. Ssejak itu kesihatannya tidak menentu tetapi aku tidak dapat menziarahinya kerana terpenjara dengan kuliah dan tutorial. Aku berjanji untuk menemaninya sepanjang cuti semester nanti.
Cuti semester membungakan harapan. Ku khabarkan kepada keluarga bahawa aku akan terus mengunjungi si dia tersayang. Tetapi ibu hanya diam di hujung talian dan merestui ku. Setibanya ku ke rumahnya hatiku dikoyak rabak. Dan... dalam perjalananku melewati Lebuh Pantai, aku belajar menerima hakikat kejadian alam. Dalam perjalanan itu aku terhenti di pinggit Kota Cornwallis mengkhabarkan kepada ombak bahawa teman yang kusayangi telah meninggalkan aku sebulan yang lalu ketika aku masih mengharap balasan warkah yang kukirim kepadanya.
Tersayat pedih.. terguris luka dan kebarangkalian yang kugenggam adalah kata yang gagal. Anugerah pilu ini aku jadikan landasan permulaan episod yang belum petah kuungkapkan.
Innalillahi wainna ilaihrajiun..Dentuman petir yang membelah malam menyedarkan aku dari lamunan rakaman yang kumainkan dari pita ingatanku. Lantas hatiku berbisik " Jika inilah rasanya cinta, terlalu murninya erti kehidupan." Ku kira itu hanyalah cara kisah berlalu dan terus terpahat sebagai sejarah hidupku.
No comments:
Post a Comment