Wednesday, 19 June 2013

MASJID QUBA DAN MASJID DHIRAR (MADINAH)

Salam....
Mood Cik Noor masih pada kisah-kisah menarik sewaktu mengerjakan umrah. Memijak bumi yang pernah dipijak oleh Rasulullah dan para sahabat. Menjelajahi tinggalan-tinggalan yang semakin dimusnahkan. Entah suatu masa nanti akan terhapus semuanya.  Ini adalah kisah-kisah yang diceritakan oleh Mutawwif Az-Zuha Travel.

Alhamdulillah Cik Noor amat berpuas hati dengan penjelasan dan tazkirah sepanjang perjalanan. Tiada langsung rasa keletihan atau jemu untuk terus meredah terik mentari yang meratah tubuh. Sudah menjadi tabiat Cik Noor sejak kecil untuk membawa buku catatan jika berziarah maka di sana juga Cik Noor membawanya. Cik Noor catatkan semua kisah yang diceritakan dan Cik Noor tuliskan kembali dalam diari Cik Noor. Pernah suatu hari Cik Mah (Puan Fatimah) isteri Ustaz Hasan bertanya apa yang setiap hari Cik Noor tuliskan. Dengan sipu-sipu Cik Noor jawab "diari". Agak kebudak-budakan tetapi bila Cik Noor bacakan semula ianya seperti novel yang hidup dalam hati dan perasaan Cik Noor.


MASJID QUBA
Kelebihannya

Rasulullah saw bersabda : "Sesiapa yang berwuduk di rumahnya dan bersolat 2 rakaat di Masjid Quba diberikan ganjaran pahala sekali umrah."

Keterujaan dari atas bas. Cik Noor dapat saksikan bas-bas yang membawa jemaah mengunjungi masjid Quba iaitu masjid tertua kerana ianya masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah selepas tiba di Madinah (Yathrib) ketika hijrah baginda dari kota Mekah.  Ianya di bina pada 8 Rabiulawwal tahun pertama Hijrah iaitu setibanya Rasulullah saw di kawasan tersebut di mana Rasulullah disambut oleh kaum Ansar Madinah. Di sini Rasulullah berehat dan bermalam selama 4 hari bersama Amru bin Auf di rumah Kalthum bin Hadm. Masjid yang Cik Noor tunjukkan ini adalah masjid yang baru dibina manakala struktur asal tidak dikekalkan.

Masjid Quba terletak lebih kurang 2 batu dari Masjid Nabawi atau lebih tepat terletak di selatan Bandar Madinah.  Perjalanan Cik Noor melalui jalan raya lebih kurang 10 minit dari hotel penginapan Jemaah AzZuha Travel. Masjid ini terletak dikawasan perkampungan bernama Quba. Manurut riwayat, di sini Rasulullah saw mendirikan solat sementara menunggu Saidina Ali tiba dari Mekah membawa berita dari sana. Semasa Rasululullah ingin memulakan penghijrahan kaum Arab Musyrikin ingin membunuh baginda dan Saidina Ali telah menggantikan baginda, tidur ditempat Rasulullah dan menggunakan selimut baginda.
Berduyun-duyun jemaah yang ingin mengambil keberkatan solat sunat 2 rakaat di masjid ini. Masjid Quba ini memberikan suatu rasa yang tidak dapat Cik Noor gambarkan, betapa kesungguhan Rasulullah saw menyebarkan syiar Islam di atas muka bumi dengan penuh kepayahan. Menyelusuri Sirah Nabi yang sentiasa kita rindui menyemai suatu rasa betapa kerdilnya kita umat yang disayangi Rasulullah. Cik Noor dapat rasakan bagaimana kepanasan suhu yang mencecah 47-54 celcius membakar kulit. Cik Noor bersyukur kerana di bumi yang Cik Noor pijak ketika di masjid Quba ini adalah bumi yang sama Rasulullah saw dan para sahabat berpijak suatu ketika dulu. Disinilah kaum Ansar menyambut Rasullullah dengan penuh kegembiraan. Alhamdulillah Cik Noor seolah-olah merasakan ruh perjuangan itu meresap masuk ke jiwa Cik Noor sehingga ke hari ini.

Rakan jemaah Cik Noor di hadapan tangga menuju ke masjid. Kawasan asal seperti berbukit kerana kedudukan tandas yang asalnya tapak masjid dhirar (masjid dibina kaum munafik) adalah lebih rendah.

Peniaga-peniaga ditepi masjid dengan pelbagai barang perniagaan mereka.

Berjalan dari parking ke dalam Masjid, dah terbawa-bawa cara pengendalian menganjurkan kursus maka secara tidak rasmi Cik Noor akan 'lead' jemaah wanita dan memastikan kesemua mereka berkumpul semula supaya jemaah yang berusia akan rasa selamat dan tidak gundah gulana mencari rakan.

Buah aprikot segar juga dijual ditepi masjid. Kebanyakan buah-buahan yang dijual adalah buah-buahan Meditranean.  Kalau nak beli kurma kat sini di sebelah kompleks gerai-gerai kekal yang dibina lebih murah dari mazra'ah (ladang kurma). Tak caya??? cuba pergi tanya. Selalunya mutawif tak bagi tau, kita kena pandai-pandai sendiri lah ye. Cakap je bahasa apa yang depa faham. Cik Noor cakap 4 bahasa kat sana. Melayu, English, Arab dan paling banyak (bahasa keempat) bahasa isyarat. hehehehehe

Masjid Quba dari jauh. Untuk mengenalinya ianya mempunyai 4 menara dan di hujung menara dicatkan warna kelabu. Jika nanti terjumpa masjid yang macam ni kat Madinah itulah masjid Quba. Yang ni Mutawif tak cerita, pemerhatian Cik Noor untuk memudahkan Cik Noor cam masjid-masjid utama di tanah Haramain (2 Tanah Suci).

Gambar Masjid Quba di bahagian hadapan jalan utama. Masjid Quba ini dibina semula pada tahun 1986 oleh seorang arkitek Mesir yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi bernama Abdel Wahed El-Wakil. Pada perancangan asal arkitek ini ingin mengekalkan struktur lama dan disambungkan dengan yang baru tetapi Kerajaan Arab Saudi mengarahkan keseluruhan struktur lama diruntuhkan. Masjid Quba ini mempunyai dewan solat berbentuk empat persegi dan sebahagiannya 2 tingkat. 
 
Cik Noor lebih selesa bersolat di tingkat 2 kerana kebanyakan jemaah lebih bertumpu di tingkat 1 sehinggakan ada yang berasak-asak dan melangkahi kepala jemaah lain yang sedang solat.  Masjid ini terdapat 6 pintu masuk dan empat menara di setiap penjuru masjid. Kompleks masjid Quba yang baru ini juga terdiri daripada kediaman petugas masjid, pejabat, bilik wuduk, deretan kedai dan perpustakaan.

Surah At-Taubah (108) : "Janganlah kamu bersolat dalam masjid itu (masjid dhirar)selama-lamanya, sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya."

Tandas yang dulunya adalah tapak masjid dhirar.

Sejarah masjid dhirar (maksud dhirar = merbahaya) bermula apabila kaum munafik (golongan yang berpura-pura Islam) merasa resah disebabkan Masjid Quba dikunjungi oleh ramai pengikut Islam. Kaum munafik berkumpul dan bermesyuarat berkaitan kekuatan pengikut Rasulullah saw di mana pengikut Rasulullah berkumpul di Masjid Quba dan  silaturahim antara Muhajirin dan Ansar semakin kuat. Sebaliknya kaum munafik semakin lemah dan kaum munafik bimbang pengaruh mereka akan berkurangan. Cadangan pembinaan masjid ini juga didalangi oleh seorang fasik bernama Abu 'Amir yang mengutuskan surat kepada munafik Madinah supaya membina masjid sebagai tipu daya dengan mengatakan masjid ini adalah untuk golongan yang sakit dan tua.  Mereka membina masjid yang cantik dan besar melebihi Masjid Quba. Kaum muslimin amat kagum dengan keindahan masjid tersebut. Di sebalik itu mereka dengan penuh tipu daya bertujuan untuk menyaingi Masjid Quba dan mengalihkan kaum muslimin daripada berkumpul di masjid Quba. Dengan itu perpaduan kaum muslimin akan berpecah malahan kaum munafik juga bertujuan untuk mengintip kaum muslimin.  Mereka melantik seorang yang baik bacaan al-Quran sebagai imam di masjid Dhirar. Setelah masjid tersebut siap mereka menjemput Rasulullah untuk bersolat di dalamnya sebagai merasmikan masjid mereka sedangkan pada ketika itu Rasulullah dalam persiapan ke peperangan Tabuk. Rasulullah berkata bahawa baginda sedang sibuk untuk berperang dan apabila kembali dari peperangan Rasulullah akan singgah untuk bersolat di masjid tersebut. Tetapi dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk, Allah menurunkan wahyu melarang Rasulullah singgah dan bersolat di masjid tertsebut. Seterusnya Rasulullah sudah mengetahui tipu daya kaum munafik dan mengutus Malik bin Dukhsyum, Ma'an bin Adi, Amir bin As-Sakan dan Wahsyi "Pergilah kalian ke masjid yang didirikan oleh orang-orang zalim kemudian hancurkanlah dan bakarlah."  Ada riwayat menyebut masjid itu dijadikan tempat pembuangan sampah, najis dan bangkai binatang.

Papan tanda pintu no 7, mulanya Cik Noor rasa pelik sebab masjid ni ada 6 pintu masuk. Ohh rupanya ini bukan pintu masuk masjid tetapi pintu keluar ke tandas dan rumah pekerja serta ke kedai-kedai. Cik Noor perhatikan masjid di sini tiada papan tanda yang besar dan cantik seperti di Malaysia.

Tandas yang dulunya tapak Masjid Dhirar

No comments:

Post a Comment