Saturday, 22 June 2013

MASJID QIBLATAIN (2 QIBLAT)- MADINAH

Dari Masjid Quba, jemaah AzZuha dibawa melalui Masjid Qiblatain untuk menuju ke Medan Uhud. Pada ketika ini keadaan mula panas terik. Kepala Cik Noor mula terasa pening dan Cik Noor seperti nak muntah. Keadaan yang panas mengejut kerana hari ini merupakan hari kedua jemaah kami memijak bumi al-haram Madinatul Munawwarah ini. Pada waktu ini jam menunjukkan lebih kurang 8.00 pagi tetapi terik mentari memang seperti tidak pedulikan waktu. Bahang yang terasa seperti waktu tengahari di bumi Malaysia. Suhu ketika ini hampir mencecah 46 celcius menyebabkan badan Cik Noor seperti terumbang ambing melayan kepala yang berpinar dan tekak yang loya. Ketiadaan parkir yang berhampiran disebabkan terlalu ramai jemaah yang singgah menyebabkan bas kami terpaksa parking agak jauh.  Hanya beberapa orang sahaja yang turun termasuk Cik Noor yang berjalan di tengah terik mentari dengan tekak yang seperti akan muntah pada bila-bila masa. Tetapi apabila menjejaki kawasan masjid Cik Noor dapat rasakan seperti suatu semangat baru menyelinap masuk dalam diri untuk Cik Noor gagahi juga memasuki ruang dalam masjid. Oleh kerana jemaah berasak-asak Cik Noor tak sempat bersolat sunat di masjid ini kerana peruntukan masa yang diberikan hanya 15 minit sahaja. 



MASJID QIBLATAIN
Sejarah ringkas 
sebagaimana diceritakan oleh Ustaz Hasan (mutawwif) dan rujukan sumber-sumber lain

Masjid Qiblatain (artinya: masjid dua kiblat) adalah salah satu masjid terkenal di Madinah. Masjid ini mula-mula dikenal dengan nama Masjid Bani Salamah, kerana masjid ini dibangun di atas tapak rumah Bani Salamah. Letaknya di tepi jalan menuju kampus Universiti Madinah di dekat Istana Raja ke arah Wadi Aqiq atau di atas sebuah bukit kecil di utara Harrah Wabrah, Madinah. Masjid ini mempunyai 2 menara.

Pada zaman Rasulullah SAW, Masjid Al-Qiblatain adalah tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah. Ia terletak di sebelah barat laut Madinah berdekatan Wadi Aqiq dan Universiti Islam Madinah.

Masjid ini diberi nama Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) bersempena peristiwa turunnya perintah Allah supaya Rasulullah SAW menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Masjid Aqsa di Baitul Maqdis (Palestin).

Peristiwa itu berlaku pada tahun 2 Hijrah iaitu selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat pergi ke perkampungan Bani Salamah kerana menerima jemputan jamuan makan tengah hari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'.

Apabila tiba waktu Zuhur, Rasulullah SAW dan sahabat mengerjakan solat Zuhur di Masjid Bani Salamah berkiblatkan Baitul Maqdis. Ketika berada pada rakaat kedua, turun firman Allah yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram." (Surah Al-Baqarah, ayat 144)
Dengan turunnya ayat itu, Rasulullah SAW  menghentikan seketika solat baginda dan segera mengubah arah kiblat Baginda dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke Baitullah iaitu berbetulan dengan al-Mizab (Pancur Emas) dan Baginda terus menyempurnakan solat Baginda.

Jelas di sini bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat Zuhur itu mengadap ke arah dua kiblat iaitu Baitul Maqdis, kemudian mengubah kedudukan Baginda lalu berkiblatkan Baitullah di Makkah.
Merujuk pada peristiwa tersebut, lalu masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain, yang artinya masjid 2 kiblat.

 
Masjid Qiblatain telah mengalami beberapa kali pembesaran. Pada 1987 Kerajaan Arab Saudi di bawah Raja Fahd melakukan penambahbaikan tanpa mengubah ciri-ciri masjid tersebut. Masjid Qiblatain merupakan salah satu tempat ziarah yang biasa dikunjungi jamaah haji dan umrah dari seluruh dunia.

 
Dari atas bas kelihatan ramai jemaah yang berpusu-pusu dan juga peniaga jalanan ditepi masjid Qiblatain.Bentuk menara masjid Qiblatain hampir sama dengan menara Masjid Quba tetapi bezanya menara masjid Qiblatain semuanya bercat putih manakala masjid Quba ada 4 menara yang bahagian hujung dicat kelabu.


Hanya gambar ini sahaja yang sempat Cik Noor rakam untuk tatapan rakan-rakan. Menara masjid Qiblatain yang hampir sama dengan masjid Quba cuma beza masjid Quba hujung menara berwarna kelabu.  Kelihatan bas yang bersusun membawa jemaah ke sini.

No comments:

Post a Comment