Saturday 23 November 2013

Tun Jugah Apa Hebatnya?

Lihat gambar ini. Gambar ini Cik Noor rakam dengan lensa kamera kecil Cik Noor ketika di Kuching Sarawak. Selalunya nama orang yang hebat-hebat sahaja akan diabadikan untuk sesuatu bangunan, jalan atau apa sahaja yang menjadi milik awam.


Tun Jugah? 
Apa ada disebalik nama tersebut? Seingat Cik Noor, semasa kematian beliau Cik Noor masih di sekolah rendah tetapi paling Cik Noor ingat bila sebut tentang Tun Jugah Cik Noor pasti akan teringatkan seorang teman iaitu Kay yang telah meninggal dunia pada 16 Ogos 2013/9 Syawal 1434 yang lalu.

Kisahnya di suatu hari Kay datang ke pejabat dengan muka yang mencuka. Semasa kami sama-sama minum pagi Kay dengan serius mengadu. "Geram betul.. pagi-pagi lagi Shasha (anak kecil yang berusia 4 tahun) dah buat hal. Dia dah gunting rambut sendiri. Dah macam Temenggung Jugah. Geram betul." Cik Noor tertawa terbahak-bahak kerana terbayangkan Shasha dibandingkan dengan Temenggung (Tun) Jugah.

Tapi sebenarnya Tun Jugah ini hebat dalam perjuangan rakyat Sarawak. Kisah-kisah yang Cik Noor petik dari pembacaan dan coretan tentang beliau membuatkan Cik Noor kagum dengan  beliau.
Lihatlah betapa beliau bangga dengan keterampilannya sebagai orang Iban dan memakai kot yang dibuat dengan pua kumbu. 

Pemimpin sekarang.... "Ada brannnn?"

Cerita Unik Temenggong Jugah Pergi London (dipetik dari blogger lain)

 Dengan luaran Iban, dia berperanan dalam sejarah awal negeri Sarawak. Besarnya Apai kepada Orang Iban hingga Yayasan Orang Iban diberi namanya untuk mengenangkan jasanya.
 
Seorang tokoh pemimpin dari Sarawak bernama Tun Jugah Anak Barieng (1903 - 1981) atau sering dipanggil semasa itu Temenggong Jugah. Beliau merupakan Ketua Utama Orang-orang Iban selama 55 tahun dan digelar Apai bermakna bapa. Beliau memenangi kerusi ahli Parlimen pada pilihanraya Malaysia pertama pada tahun 1963, dan menjadi Menteri Hal Ehwal Sarawak.  Seorang pemimpin yang mudah dikenali kerana keunikannya dengan jatidiri kaum Iban iaitu kaum yang diwakilinya. Keterampilannya sering menjadi tumpuan dan sangat unik.

Ceritanya, Tunku Abdul Rahman membawa Apai ke London untuk rombongan rasmi melawat Queen Elizabeth II juga dimaklumkan bahawa beliau menjadi salah seorang wakil Sarawak menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963. Itu adalah pertama kali dia ke London. Dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Queen menjemput mereka ke satu Majlis Malan Malam di Raja di Britain.  Hidangan pertama adalah sup sebagai pembuka selera atau appertiser. Pelayan itu menghidangkan Apai sup. Apabila dilihat mangkuknya sudah habis, pelayan itu bertanya, "Would you like any more soup, sir?"

Apai tak tahu nak cakap apa. Dia tak faham apa yang dikatakan, cuma faham perkataan soup. Ingatkan dia ditanya sedap ke tidak sup itu, dia hanya mengangguk dengan sopan sambil menyebut, "Soup soup ..."  Ingatkan dia mahu lagi, pelayan itu menambah lagi sup dalam mangkuknya. Dah terpaksa dia menghirup lagi sup. Zaman itu, pantang orang membazir makanan.

Apai lihat orang lain sudah dihidangkan salad yang berisi dengan makanan laut. Cepat-cepatlah dia hirup sup itu.
Habis saja, pelayan itu berkata, "You must love the soup, sir. Would you like some more?"  Sekali lagi dia menganngguk sambil menjawab, "Soup soup ..."  Dituang lagi sup dalam mangkuk. Terpaksa Apai menghirup sup, tak mahu membazir.

Tun Dr Ismail, Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin hairan kenapa Apai masih menghirup sup. Mereka sudah habis salad dan sedang menunggu hidangan ke tiga stik. Malas bertanya kerana tak mahu malukan dia. Apai pun agak kurang bercakap.

Apai sedar orang lain dah habis hidangan kedua. Semasa dia menghabiskan mangkuk ketiga supnya, dia lihat pelayan-pelayan lain tengah membawa masuk hidangan stik kepada mereka-mereka yang lain.

Apabila dia habis saja menghirup sup mangkuk ketiga, pelayan itu bertanya dengan hormat, "Sir, you missed the second course, and they are now at the third course, which is steak. Would you still like to have the salad or steak now? Or you still prefer more soup?"

Apai melihat kepada pelayan itu sambil bercakap, "Berapa kali kau nak kasi aku sup? Aku nak makan daging. Sup, sup, sup, nak aku potong kepala ...?"  Tun Tan Siew Sin yang duduk disebelah hampir nak tergelak. Baru faham dia tidak tahu bahasa Inggeris. Dia pun beritahu pelayan, "I believe he would like to have the steak now."

 Di sini dapat kita lihat, pendidikan formal sahaja bukan jaminan seseorang pemimpin itu hebat di mata rakyat tetapi kewibawaannya dan jiwa kerakyatan yang tumbuh subur dalam jiwa pemimpin itulah yang menjulang kehebatannya.

Semasa kita nak merdeka, 70% dari rakyat yang kebanyakkan orang Melayu dan Kaum-kaum di Sabah dan Sarawak adalah miskin. Kebanyakkan rakyat luar bandar tidak ada air, dan letrik di rumah. Kemudahan sekolah kurang. Manalah dapat bertutur bahasa Inggeris.  Tokoh negarawan itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 8 Julai 1981 ketika berumur 78 tahun.
Beliau kemudiannya dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggong Jugah anak Barieng. Belai adalah tokoh kaum peribumi Iban  yang banyak memainkan peranan dalam membantu usaha pembentukan Malaysia disifatkan sebagai ‘hero teragung’ bagi masyarakat Bumiputera di Sarawak.

Satu keunikan Tun Jugah yang sangat dikagumi ialah beliau mempunyai pandangan yang amat tajam dan realistik walaupun tidak pernah mengikuti pendidikan secara formal.

Ketua pemimpin masyarakat Iban yang dilahirkan pada 1903 itu merupakan seorang pemimpin yang berwawasan jauh untuk merubah nasib kaum Bumiputera daripada terus ketinggalan, berbanding pemimpin-pemimpin Iban ketika zamannya.

Setiap cadangan dan idea Tun Jugah sentiasa mengutamakan rakyat dan bermatlamat supaya rakyat negeri ini turut merasai denyut pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.

Tun Jugah juga sentiasa mengingatkan penduduk Sarawak akan pentingnya bersatu tanpa mengira kaum demi keutuhan dan kemajuan negeri dan negara ini, peranan pemimpin hebat itu berjaya merealisasikan pembentukan Malaysia walaupun keadaan Asia Tenggara ketika itu huru-hara.

Mendiang Tun Jugah adalah seorang pemimpin yang berani dan berpengaruh apabila berjaya meyakinkan rakyat khasnya Bumiputera untuk sama-sama memajukan negeri ini dalam Malaysia.

Tun Jugah bergiat cergas dalam memastikan usaha pembentukan Malaysia menjadi kenyataan pada 15 Februari 1962. Tun Jugah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan 51 penghulu dan Pegawai Daerah di Kapit setelah beberapa pertemuan sebelumnya, buntu.

Selepas pertemuan itu, baru kata sepakat dapat diambil di mana mereka mempersetujui untuk menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura untuk membentuk Malaysia, lalu menjadi salah seorang wakil Sarawak yang menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963.


Wednesday 20 November 2013

TEPIAN SUNGAI SARAWAK

Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menjadi mercu tanda pemerintahan Kerajaan Negeri Sarawak dan juga landmark Sarawak Waterfront.
 Tepian Sungai Sarawak......... suatu ketika dahulu kuhanyutkan kenangan sedih di sini. Tika itu ku hanyutkan semua lara untuk pulang dengan jiwa yang kosong..
 Tepian Sungai Sarawak ini juga. Saksi air mata terakhir untuk aku kesali kesilapan yang telah aku lakukan. Bertafakur menginsafi kealpaan dunia dan menanam azam dan kebergantungan sepenuhnya kepada Rabbul Izzati...
 Dan pada masa yang sama, ada insan yang tanpa diduga hadir menjadi pendengar setia dan mengajar aku bagaimana untuk melangkah semula ke hadapan tanpa menoleh pada lorong-lorong duka kerana katanya lorong itu jika dibiarkan akan lenyap ditelan belukar dan tiada lagi kesan untuk diingati. Ayuh.. langkahlah ke hadapan seperti air sungai yang mengalir terus ke laut mengembara seluasnya serata dunia. Insan yang hingga kini menjadi pendengar setia dan pendorong semangat biar pun kini langkahnya terhenti di situ. Dia menolakku ke hadapan untuk terus berlari. Andainya dia membaca coretan ini.. terima kasih kerana memberi kembali senyuman yang hilang..

.....Cukup..cukup sudah... berjiweng ea?
Jom kita selusuri pengembaraan di Kuching Sarawak.

 Sarawak Traditional Boat yang ada burung Kenyalang ini RM19/person.  Bot ini boleh dinaiki 10 orang atau satu group kecil. Menyelusuri Sungai Sarawak menikmati keindahan pembangunan di sepanjang susur Sg Sarawak.  Cik Noor teringin nak naik bot ni tapi sebab tak ada geng yang sporting so Cik Noor tak dapatlah nak memenuhi hasrat Cik Noor. Sebenarnya Cik Noor kesian sebab pengendali bot ni macam tak ada orang nak naik je, seharian berlabuh di situ dan mungkin inilah punca rezeki beliau.

Jeti di seberang sungai. Kawasan perkampungan Melayu dan ada perusahaan kek lapis Mira dan Dayang Salhah yang famous tu. Cik Noor sempat juga beli 10 jenis.

  Bot-bot Nelayan
Rakaman untuk dikenang
 

Yang ni pulak jeti perahu kecil/ teksi air yang menyeberangi ke sebelah sana. Tambang hanya 50sen seorang. Kalau nak keseberang kita hanya perlu turun jika bot telah ada atau tunggu sekejab bot yang dari seberang akan datang mengambil penumpang. Di seberang sanalah ada pengusaha kek lapis Sarawak yang terkenal iaitu Dayang Salhah dan juga Mira Kek Lapis.  Cik Noor beli di kedai Mira sebelum ini dah beli di kedai Dayang Salhah.


Lokasi untuk makan-makan. Dibuka waktu petang hingga larut malam.
 Perahu tambang/ teksi air untuk ke seberang. 50sen saja tambang.
Perahu tambang/teksi air yang sentiasa berulang alik dari Waterfront ke seberang. Kawasan perkampungan Melayu di sana.

 Tu... bukti jejak kaki Cik Noor di Bumi Kenyalang. Nampak tak hujung kasut Cik Noor memijak di atas plak penanda tu.. haaa.. itulah bukti Cik Noor "pijak" kat situ.







Selain bot tradisional ada juga Sarawak River Cruise. Yang ni bayarannya agak mahal. Semasa Cik Noor kat sana harga seorang penumpang dewasa RM50 untuk perjalanan selama 1 jam. Dalam cruise ini penumpang akan dihidangkan dengan makanan ringan dan juga terdapat persembahan tarian kebudayaan Sarawak.
Lan Berambeh River Cruise juga ada untuk ke Medan Niaga Satok. Bayaran yang dikenakan ialah RM10 seorang. Cik Noor tertanya-tanya maksud Lan Berambeh yang mulanya Cik Noor ingatkan nama orang tetapi setelah menggoogle barulah Cik Noor faham maksudnya.
Ooooooo gitu kaedahnya.........

APA MAKNA "LAN BERAMBEH"Perkataan “lan berambeh” adalah perkataan bahasa tempatan Sarawak. “lan” bermaksud mari, sila, ayuh atau jom.
Manakala perkataan berambeh pula bermaksud melawat, berkunjung, bersantai atau bermalam ke sesuatu tempat atau lokasi
.

Ini pula satu iklan di satu bangunan terbuka yang dibuatkan ruang untuk persembahan dan platform penonton. Ianya digunakan untuk acara-acara kesenian sama ada persembahan nyanyian, tarian dan juga lain-lain yang bersesuaian. Kat tepian sungai Sarawak ni ramai juga penyanyi/pemuzik jalanan atau dikenali sebagai basking. Terpulanglah jika anda rasa nak beri RM atau tak nak. 

Kuching Waterfront Management Office. Tapi Cik Noor tengok macam tak ada orang pun. Tapi tak jauh dari situ ada post polis pelancong.  Kalau dulu Cik Noor datang tahun 2002 dulu polis pelancong meronda sepenjang jalan dan sentiasa berpesan kepada pelancong supaya berwaspada dengan peragut. Malah ketika itu ada seorang pelancong Eropah yang diragut oleh peragut bermotorsikal telah jatuh mengalami kecederaan dan meninggal dunia.  Tapi tahun 2013 keadaannya jauh berbeza. Cik Noor rasa berani saja berjalan ke sana sini seorang diri.  Mungkin jenayah di kawasan tersebut telah menurun dan terkawal.

Ini adalah kadar tambang yang dibenarkan. Ini adalah untuk makluman pengunjung jika dikenakan tambang yang lebih tinggi mereka boleh membuat aduan terhadap pengusaha bot atau dikenali sebagai teksi air yang berulang alik mengangkut penumpang.


Lagu Sri Sarawak (Hamzah Dolmat)
Sayang Sarawak..Sayang Sarawak sungainya sempit
Banyak berlabuh sayang..
Banyak berlabuh perahunya Bugis;
Niat Dihati sayang, niat di hati hendak ku bawa;
Apakan daya sayang, apakan daya perahuku sempit;
Sayang Sarawak..Sayang Sarawak Sungainya sempit;
Buahlah rengas tuan,
Buahlah rengas di tapak tangan;
Hendak kubawa tuan perahuku sempit
Tinggallah intan tinggal junjungan.





Terima kasih :)







Tuesday 19 November 2013

TERUNG DAYAK (TERUNG ASAM SARAWAK)


Kepada yang belum biasa jumpa... "termasuklah Cik Noor".. bila diceritakan tentang Terung Dayak, maka terloponglah mulut mendengarnya.
Semasa Cik Noor tanyakan sahabat Cik Noor yang bernama Indra tentang "apa yang menarik di Sarawak?" Indra menjawab "pernah dengar tentang terung dayak?........ hmm itu pun istimewa tu."

Maka Cik Noor pun berusaha menjelajah kedai-kedai sekitar Kuching yang menjual sayur-sayuran basah. Nak ke pasar tani Cik Noor kesempitan masa. Nak tengok rupa terung dayak. Sepanjang deretan kedai yang menjual barang-barang mentah Cik Noor masuk dan scanning.... tetapi tak ada. Bila tanya orang ramai pun semua jawapan sama jer.. kat pasar tani adalah.

Terung dayak.. terung dayak.. terung dayak.... nak tanya pun kena slow-slow sebab takut tersalah sebut... Dah hampir kecewa la jugak dan Cik Noor mengarahkan kaki melangkah balik ke hotel. Tapi mata tetap melilau menscanning gerai-gerai pasar basah yang ada... Jeng...jeng... jeng tetiba Cik Noor nampak sejenis buah bulat yang berwarna kuning dan ada yang berwarna sedikit kehijauan.. hijau kuning.. Bagai nak terjerit bila Cik Noor nampak. Yakin... itulah terung dayak.  Berlari-lari Cik Noor meluru ke gerai yang dijaga oleh seorang wanita Cina pertengahan umur. Dengan gelojohnya Cik Noor terus tanya ...... "ini terung Dayak ke?"  sambil hidung kembang kempis menarik nafas kerana agak kekurangan oksigen berlari tadi.


Wanita Cina tadi macam terperanjat juga melihat reaksi Cik Noor. "Maaf, saya dari Semenanjung. Ada kawan bagitau tentang terung Dayak. Betul tak ini terung Dayak?" dengan muka tak malu Cik Noor menjelaskan.. Beberapa orang di situ juga mula kerumun Cik Noor macam menarik dengan penjelasan Cik Noor.

"Ya ini terung Dayak. Sini orang jua panggil terung asam. Sedap dimasak asam pedas, mau juga dibuat sambal bilis tuk. Kamek dulu suka sangat terung ini. Tapi kamek sakit dah sik makan asam." Wanita Cina tersebut menjelaskan.  Huhuhuhu terharu...... terharu.... terharu, akhirnya Cik Noor jumpa juga terung Dayak atau terung asam Sarawak.

"Kitak (awak) selalu masak apa? Kamek (saya) sik (tak) tahu apa masakan terung ini." Cik Noor sengaja mengajuk cakap Sarawak. Bila Cik Noor tanya betul tak cara Cik Noor cakap wanita tu kata dia faham, Cik Noor sengih.

"Asam pedas dan goreng pedas macam midin juga sedap." Cik Noor mengangguk-angguk dan sebijik terung dayak sebesar besi lontar peluru menjadi pilihan Cik Noor. Harganya RM4.50 mahal juga, tapi mungkin sebab Cik Noor orang semenanjung kot atau dia harap Cik Noor menawar harga kot.  Dengan senang hati Cik Nor pun membawa terung dayak kesana sini dan rasanya kaum Dayak yang melihat kelibat Cik Noor berjalan sepanjang jalan dengan happy membawa terung mereka (Dayak) mesti rasa bangga.

Semasa Cik Noor melintas sebuah kedai pakaian ada 2 orang wanita yang berniaga di situ menegur dan kami bersembang sikit tentang terung Dayak ini. Memang ianya terkenal dan menjadi makanan tradisional yang istimewa di sana.

Sesampai di rumah terung ini telah berwarna kuning keseluruhan dan Cik Noor masak asam pedas utara masukkan terung ini. Isi dan bijinya sama je dengan terung biasa cuma rasanya masam.  Hmm memang sedap jika kena masakannya.  Sepatutnya Cik Noor masak asam pedas Melaka dengan terung Dayak Sarawak. Memang sedap. Tak menyesal beli.  Resepi lain bolehlah tanya Pak Cik Google.

Tips: Jika sesiapa ke Sarawak bolehlah beli terung Dayak buat buah tangan juga. Bijinya boleh di tanam sebagai kenangan mengunjungi Sarawak.

Thursday 7 November 2013

UNIK MASJID BANDAR KUCHING



30 OKTOBER 2013 Cik Noor mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan sekitar Bandar Kuching Sarawak sementelah Cik Noor berpeluang menghadiri Forum Serantau Negara Commanwealth.  Cik Noor bersyukur terpilih untuk menghadiri forum ini yang memberikan inspirasi dalam tugas Cik Noor dan juga berpeluang belajar dari pengalaman negera Commanwealth yang lain.  

Ouchhh.... lupakan sekejap pasal kerja.  Time untuk bercerita perkara-perkara unik yang Cik Noor kutip dari peluang yang ada..... Jom jalan-jalan sekitar Bandar Kuching... kali ni betul-betul jalan kaki sebab Cik Noor nak "feel" Bandar Kuching (boleh kot mcm tu?)......... So tunggu apa lagi.. lets go.

Cik Noor nak mulakan dengan tempat paling unik yang tak pernah orang cerita dan tiada dalam peta pelancongan Kuching..... Tadaaaaa.............


Semasa menyelusuri Waterfront ke arah kiri hotel penginapan, Cik Noor mencari pasar yang dulunya terletak di kawasan ini tiba-tiba mata Cik Noor terpaku ke arah bangunan ini.  Spontan Cik Noor tanya junior staff  (JS) yang bersama Cik Noor "Hei... nampak tak apa yang akak nampak?"  Ye lah di deretan kedai itu terdapat sebuah masjid. Pelikkan?? masjid di deretan kedai. Ohhh unik sekali.

Kalau Cik Noor tanya "Apa yang korang gambarkan di minda tentang Masjid Bandar Kuching jika anda belum pernah datang?" dah tentu zuppppppp.......  tergambar di minda anda seperti slide powerpoint sebuah bangunan berkubah cantik dengan laman yang luas, parkir yang cukup, pokok bunga terjaga rapi. Al maklumlah... masjid tengah ibu negeri. Memang ada masjid yang telah dibina tersergam tetapi masjid ini, Cik Noor rasa masjid Bandar Kuching yang terawal.  Kita saksikan dulu gambar-gambar sebelum Cik Noor ceritakan sedikit penerangan tentang masjid Bandar Kuching yang Cik Noor buat research. 

Inilah kenangan paling istimewa yang Cik Noor nak ceritakan dan Cik Noor berpeluang menemuinya. Mungkin pambaca semua rasa ianya suatu yang biasa namun Cik Noor sangat teruja kerana semasa melangkah ke Bumi Kenyalang kali ini Cik Noor memang berharap berjupa sesuatu yang berbekas di hati untuk di bawa pulang. Nak bawak balik souvenior Cik Noor tak terdaya nak bawa banyak-banyak.

 Terletak di tengah-tengah deretan kedai yang menjual rempah ratus dan barangan muslim. Kebanyakan peniaga keturunan India Muslim.






 Masuk jer pintu utama rumah kedai ada satu lagi pintu kayu di bahagian belakang rumah kedai yang bersambung dengan pintu masjid yang sebenar. Inilah pintu ke masjid dan pintu bahagian dalam itulah ke ruang solat utama dan dikunci.  Rupanya binaan masjid bersambung di belakang deretan kedai. Jika dari posisi Cik Noor snap gambar ini sebelah kiri ada lorong kecil yang hanya 1 ela lebarnya dan ada tangga yang pintunya bergrill mungkin untuk naik ke tingkat atas rumah kedai yang sebahagian besarnya kemungkinan masjid. Ruang masjid ini bersih dan dijaga rapi. Tenang saja mata melihat. Tak nampak pulak tabung masjid mungkin di bahagian dalam masjid.  Di sebelah kanan juga ada lorong lebarnya 1 ela yang akan menembusi celah deretan kedai ke India Street.
 Cik Noor merakamkan juga kenangan di sini. JS Cik Noor ni kurang kreatif ambik gambar tapi tak mahulah Cik Noor komplen. Cik Noor tak mahu banyak songel.. asal ada kenangan cukuplah jangan membebel.

Ok.... lets baca cerita Masjid Bandar Kuching.....
Gambar di bawah Cik Noor copy dari e-tawau.com bukan hakmilik Cik Noor tau sebab semasa Cik Noor sedang snap gambar ada seorang pakcik dah nak tutup pintu utama. Cik Noor minta izin dan maklumkan Cik Noor datang jauh dari Pulau Pinang nak ambil gambar kenangan masjid unik ini...

Masjid Bandar Kuching

Syukur Alhamdulillah.......... Catatan kembara Cik Noor dapat menemuinya kerana bagi Cik Noor masjid ini lebih menarik daripada ke Kampung Budaya atau Taman Buaya. Jika nanti pembaca ke Kuching mungkin boleh singgah bersolat di Masjid Bandar Kuching atau di kenali juga sebagai Masjid India atau asalnya Masjid Tambi.  Masjid ini adalah masjid tertua di Sarawak iaitu di bina pada tahun 1837. Ini bermakna ianya telah tersergam di situ selama 176 tahun. MasyaAllah...... jika dihitung dengan masa maka sudah ramai manusia yang beribadah di dalam masjid itu. Hati Cik Noor bagai digaru-garu nak bersolat tahiyatul masjid dalam masjid tersebut tetapi disebabkan faktor keselamatan Masjid itu dikunci ketika bukan waktu solat.  Teringat Cik Noor dengan Masjid Jamaah di Madinah yang hanya dibuka waktu solat fardu. Ya Allah, jika suatu hari nanti hambaMu yang kerdil ini berpeluang lagi menjejaki Bumi Kenyalang ini maka pandulah jejak kaki ini untuk bersolat di Masjid Bandar Kuching ini

Sebagaimana terdetik di hati Cik Noor apabila melihat beberapa orang pakcik (mungkin AJK Masjid) yang berada di ruang legar umum masjid yang iras India Muslim dan kiri kanannya adalah kedai rempah ratus India Muslim maka Cik Noor yakin inilah Masjid India Kuching yang dibina oleh pedagang India Muslim. Al maklumlah, kaum pedagang India Muslim adalah golongan yang kukuh ekonomi dan agen penyebar agama Islam di rantau Asia. 

Masjid Bandar Kuching ini juga memulakan sekolah agama pada tahun 1940an lagi. Ia merupakan sekolah agama yang pertama di Sarawak yang dinamakan Madrasah Islamiah yang masih kekal beroperasi hingga kini.  

Masjid ini mendapat dana untuk beroperasi dengan sewaan 23 unit deretan kedai yangkebanyakannya disewa oleh India Muslim.  Terdapat 2 peniaga Cina yang juga menyewa di sini.  Penyewa kedai di sini adalah diturunkan dari generasi ke generasi.


 Bila tengok jer jualan rempah ni teringat mamak rempah kat Kepala Batas. Margerin dan shortening pun ada jual.
 Rempah yang fresh.. Baunya perghh aromaterapi yang hebat.

Perniagaan rempah ratus yang dijual di sepanjang kedai yang disewakan oleh Masjid Bandar Kuching untuk dana kepada Masjid. Terdapat pasta dan lain-lain dijual pukal.


Kedai kain milik seorang peniaga Cina


Memang tidak syak lagi masjid ini dibina oleh India Muslim dari Selatan India yang berdagang di sini. Asalnya dinding dan bumbung dibina menggunakan atap nipah sahaja namun pada tahun 1876 iaitu 39 tahun kemudian dindingnya diganti dengan papan kayu belian. Masjid ini terletak di persisir Sungai Sarawak yang mana sungai merupakan jalan perhubungan utama pada ketika itu. Kini jalan telah dibina dan Masjid tersebut terletak di Jalan Gambier iaitu merupakan pasar basah untuk para penduduk di kawasan tersebut.  Masjid itu juga menyediakan ruang rehat sebagaimana yang dapat dilihat di gambar yang Cik Noor ambil di atas, untuk para pengunjung yang ingin berehat terutamanya bagi menantikan waktu solat.  Apabila masuk waktu solat "bedok" yang berusia lebih 50 tahun akan dibunyikan.  Pada hari Jumaat hampir 1,000 orang akan bersolat Jumaat di sini iaitu penduduk dan Muslim yang berkerja sekitar bandar Kuching. Pada hari-hari biasa ianya dapat menampung 400 jemaah.


Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan untuk merobohkan masjid ini kerana struktur bangunannya tidak selamat kepada jemaah yang bersolat. Memetik kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman  pada tahun 2012,“Apa yang kita buat, masjid di Jalan Gambier (Masjid Bandar Kuching) akan diroboh dan dibina semula. Pelan pembinaan sudah siap yang melibatkan pembinaan bangunan tiga tingkat dengan tingkat bawah digunakan untuk perniagaan dan dua tingkat untuk masjid,” “Strukturnya teruk dan tidak boleh dibaik pulih dan ia juga berkaitan isu keselamatan.  Untuk membaik pulih agar sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi,  Sudah tiba masa kita membina bangunan baharu yang lebih baik daripada sekarang,  Masjid sekarang hanya boleh menampung 300 hingga 400 jemaah.  Apabila siap sepenuhnya nanti, masjid baharu itu mampu menampung sekitar 1,000 hingga 1,300 jemaah pada satu-satu masa."

Namun Cik Noor bersyukur sebab Cik Noor sempat mengunjungi masjid Bandar Kuching yang penuh sejarah sebelum ianya dirobohkan untuk dibina semula. 

Semoga catatan Cik Noor ini memberi aspirasi kepada pengembara untuk menerokai masjid-masjid unik yang berselerak di seluruh pelosok dunia. Mengimbau kembali sejarah ketamadunan Islam dan menghayati erti penyatuan ummah dalam ungkapan "umat Islam adalah bersaudara" "Muslims are family" "Muslims are unity" dan lain-lain ungkapan yang perlu dihayati dalam nurani paling dalam......

Cik Noor mohon maaf jika ada kenyataan yang tidak menepati cerita sebenar.
Wassalam.