Saturday, 23 November 2013

Tun Jugah Apa Hebatnya?

Lihat gambar ini. Gambar ini Cik Noor rakam dengan lensa kamera kecil Cik Noor ketika di Kuching Sarawak. Selalunya nama orang yang hebat-hebat sahaja akan diabadikan untuk sesuatu bangunan, jalan atau apa sahaja yang menjadi milik awam.


Tun Jugah? 
Apa ada disebalik nama tersebut? Seingat Cik Noor, semasa kematian beliau Cik Noor masih di sekolah rendah tetapi paling Cik Noor ingat bila sebut tentang Tun Jugah Cik Noor pasti akan teringatkan seorang teman iaitu Kay yang telah meninggal dunia pada 16 Ogos 2013/9 Syawal 1434 yang lalu.

Kisahnya di suatu hari Kay datang ke pejabat dengan muka yang mencuka. Semasa kami sama-sama minum pagi Kay dengan serius mengadu. "Geram betul.. pagi-pagi lagi Shasha (anak kecil yang berusia 4 tahun) dah buat hal. Dia dah gunting rambut sendiri. Dah macam Temenggung Jugah. Geram betul." Cik Noor tertawa terbahak-bahak kerana terbayangkan Shasha dibandingkan dengan Temenggung (Tun) Jugah.

Tapi sebenarnya Tun Jugah ini hebat dalam perjuangan rakyat Sarawak. Kisah-kisah yang Cik Noor petik dari pembacaan dan coretan tentang beliau membuatkan Cik Noor kagum dengan  beliau.
Lihatlah betapa beliau bangga dengan keterampilannya sebagai orang Iban dan memakai kot yang dibuat dengan pua kumbu. 

Pemimpin sekarang.... "Ada brannnn?"

Cerita Unik Temenggong Jugah Pergi London (dipetik dari blogger lain)

 Dengan luaran Iban, dia berperanan dalam sejarah awal negeri Sarawak. Besarnya Apai kepada Orang Iban hingga Yayasan Orang Iban diberi namanya untuk mengenangkan jasanya.
 
Seorang tokoh pemimpin dari Sarawak bernama Tun Jugah Anak Barieng (1903 - 1981) atau sering dipanggil semasa itu Temenggong Jugah. Beliau merupakan Ketua Utama Orang-orang Iban selama 55 tahun dan digelar Apai bermakna bapa. Beliau memenangi kerusi ahli Parlimen pada pilihanraya Malaysia pertama pada tahun 1963, dan menjadi Menteri Hal Ehwal Sarawak.  Seorang pemimpin yang mudah dikenali kerana keunikannya dengan jatidiri kaum Iban iaitu kaum yang diwakilinya. Keterampilannya sering menjadi tumpuan dan sangat unik.

Ceritanya, Tunku Abdul Rahman membawa Apai ke London untuk rombongan rasmi melawat Queen Elizabeth II juga dimaklumkan bahawa beliau menjadi salah seorang wakil Sarawak menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963. Itu adalah pertama kali dia ke London. Dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Queen menjemput mereka ke satu Majlis Malan Malam di Raja di Britain.  Hidangan pertama adalah sup sebagai pembuka selera atau appertiser. Pelayan itu menghidangkan Apai sup. Apabila dilihat mangkuknya sudah habis, pelayan itu bertanya, "Would you like any more soup, sir?"

Apai tak tahu nak cakap apa. Dia tak faham apa yang dikatakan, cuma faham perkataan soup. Ingatkan dia ditanya sedap ke tidak sup itu, dia hanya mengangguk dengan sopan sambil menyebut, "Soup soup ..."  Ingatkan dia mahu lagi, pelayan itu menambah lagi sup dalam mangkuknya. Dah terpaksa dia menghirup lagi sup. Zaman itu, pantang orang membazir makanan.

Apai lihat orang lain sudah dihidangkan salad yang berisi dengan makanan laut. Cepat-cepatlah dia hirup sup itu.
Habis saja, pelayan itu berkata, "You must love the soup, sir. Would you like some more?"  Sekali lagi dia menganngguk sambil menjawab, "Soup soup ..."  Dituang lagi sup dalam mangkuk. Terpaksa Apai menghirup sup, tak mahu membazir.

Tun Dr Ismail, Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin hairan kenapa Apai masih menghirup sup. Mereka sudah habis salad dan sedang menunggu hidangan ke tiga stik. Malas bertanya kerana tak mahu malukan dia. Apai pun agak kurang bercakap.

Apai sedar orang lain dah habis hidangan kedua. Semasa dia menghabiskan mangkuk ketiga supnya, dia lihat pelayan-pelayan lain tengah membawa masuk hidangan stik kepada mereka-mereka yang lain.

Apabila dia habis saja menghirup sup mangkuk ketiga, pelayan itu bertanya dengan hormat, "Sir, you missed the second course, and they are now at the third course, which is steak. Would you still like to have the salad or steak now? Or you still prefer more soup?"

Apai melihat kepada pelayan itu sambil bercakap, "Berapa kali kau nak kasi aku sup? Aku nak makan daging. Sup, sup, sup, nak aku potong kepala ...?"  Tun Tan Siew Sin yang duduk disebelah hampir nak tergelak. Baru faham dia tidak tahu bahasa Inggeris. Dia pun beritahu pelayan, "I believe he would like to have the steak now."

 Di sini dapat kita lihat, pendidikan formal sahaja bukan jaminan seseorang pemimpin itu hebat di mata rakyat tetapi kewibawaannya dan jiwa kerakyatan yang tumbuh subur dalam jiwa pemimpin itulah yang menjulang kehebatannya.

Semasa kita nak merdeka, 70% dari rakyat yang kebanyakkan orang Melayu dan Kaum-kaum di Sabah dan Sarawak adalah miskin. Kebanyakkan rakyat luar bandar tidak ada air, dan letrik di rumah. Kemudahan sekolah kurang. Manalah dapat bertutur bahasa Inggeris.  Tokoh negarawan itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 8 Julai 1981 ketika berumur 78 tahun.
Beliau kemudiannya dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggong Jugah anak Barieng. Belai adalah tokoh kaum peribumi Iban  yang banyak memainkan peranan dalam membantu usaha pembentukan Malaysia disifatkan sebagai ‘hero teragung’ bagi masyarakat Bumiputera di Sarawak.

Satu keunikan Tun Jugah yang sangat dikagumi ialah beliau mempunyai pandangan yang amat tajam dan realistik walaupun tidak pernah mengikuti pendidikan secara formal.

Ketua pemimpin masyarakat Iban yang dilahirkan pada 1903 itu merupakan seorang pemimpin yang berwawasan jauh untuk merubah nasib kaum Bumiputera daripada terus ketinggalan, berbanding pemimpin-pemimpin Iban ketika zamannya.

Setiap cadangan dan idea Tun Jugah sentiasa mengutamakan rakyat dan bermatlamat supaya rakyat negeri ini turut merasai denyut pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.

Tun Jugah juga sentiasa mengingatkan penduduk Sarawak akan pentingnya bersatu tanpa mengira kaum demi keutuhan dan kemajuan negeri dan negara ini, peranan pemimpin hebat itu berjaya merealisasikan pembentukan Malaysia walaupun keadaan Asia Tenggara ketika itu huru-hara.

Mendiang Tun Jugah adalah seorang pemimpin yang berani dan berpengaruh apabila berjaya meyakinkan rakyat khasnya Bumiputera untuk sama-sama memajukan negeri ini dalam Malaysia.

Tun Jugah bergiat cergas dalam memastikan usaha pembentukan Malaysia menjadi kenyataan pada 15 Februari 1962. Tun Jugah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan 51 penghulu dan Pegawai Daerah di Kapit setelah beberapa pertemuan sebelumnya, buntu.

Selepas pertemuan itu, baru kata sepakat dapat diambil di mana mereka mempersetujui untuk menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura untuk membentuk Malaysia, lalu menjadi salah seorang wakil Sarawak yang menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 9 Julai 1963.


No comments:

Post a Comment