Lama sungguh entry ini terbiar sebagai draf sahaja. Tak terasa untuk disiarkan. Tak tahu kenapa setiap kali menatap coretan di dalam entry ini Cik Noor rasa sebak sendiri. Perasaan itu datang sendiri dari sudut hati Cik Noor yang paling dalam. Satu perasaan yang terasing dan terpilu kerana entry ini seakan memugar semak-semak kenangan yang telah lama dibiar berhutan rimba. Setelah diedit dan dibuang segala semak-samun maka Cik Noor kongsikan kisah taman astakona sahaja dah ditebas semua semak-semak yang berselirat di jalan penceritaan entry ini.
Tahun 2013 yang berlalu adalah tahun yang Cik Noor akan ingati selagi Allah meminjamkan upaya memori kepada Cik Noor. Syukur Alhamdulillah.. Cik Noor sangat terharu kerana Allah memberikan ruang untuk Cik Noor berikan hadiah sebagai hadiah buat ibu ayah. Ibu ayah tetap no.1 untuk segalanya dalam hidup Cik Noor. Dan... inilah hadiah terbesar yang Cik Noor dapat berikan buat ibu ayah tersayang..
Gambar hiasan dipinjam dari laman orang..
Ini adalah coretan 1 Disember 2013 iaitu hari rehearsal bagi Istiadat Pengurniaan Bintang dan Darjah Kebesaran oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV, Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
1 Disember 2013, jantungku bagai dipaksa mengepam oksigen dengan cepat. Degupannya makin kencang semasa menyelusuri laluan ke pintu no.2 untuk masuk ke Istana Negara. Segalanya bagai mimpi, mimpi yang nyata. Sekejap lagi aku akan memijak lantai Istana Negara. Tak terbayang bagaimana ruang dalaman Istana Negara apatah lagi aku akan berada di dalam Balairong Seri iaitu dewan utama Istana Negara di mana berlangsungnya semua istiadat rasmi negara. Terdapat 2 lapisan pintu pagar untuk sampai ke bangunan Istana Negara.
Cuaca pagi ini amat cerlang dengan sinaran mentari yang lembut menerobos masuk di celahan awan menjadikan suasana pagi ini terasa nyaman. Aku masih seperti di antara sedar dan mimpi kerana tidak terfikir olehku untuk mendapat peluang sekali seumur hidup ini. Syukur ya Allahu Akbar.. yang mengaturkan perjalanan alam dan maha berkuasa mengaturkan takdirku pada hari ini.
Inilah yang diberikan ketika pendaftaran. Kad tertera nombor kerusi tempat duduk dan pin untuk dilekatkan di baju. Cik Noor akan duduk di kerusi D6 manakala seorang tetamu (ibu Cik Noor) akan duduk secara bebas di kerusi lorong K. Cik Noor bertekat untuk tempatkan ibu Cik Noor di tempat paling hampir dengan laluan di bahagian tengah supaya ibu dapat melihat dengan jelas Singgahsana Seri Paduka Baginda dan selesa untuk melihat Cik Noor nanti kerana ini sahaja yang termampu Cik Noor berikan buat ibu yang melahirkan Cik Noor.
Ruang legar di tepi Balairong Seri.
Dalam Balairong Seri. Kelihatan singgahsana yang dilitupi tirai kuning yang akan disingkapkan semasa upacara rasmi esok. Hari ini hanya raptai sahaja.
Bukti kaki Cik Noor dah memijak lantai dan berteduh di bawah siling Balairong Seri Istana Negara yang tersergam indah di tepi lebuh raya Jalan Duta.
Suasana di dalam Balairong Seri. Untuk raptai pakaian lelaki adalah baju Melayu (boleh pakai berwarna kecuali kuning) lengkap bersamping atau kot. Wanita pula pakaian sopan dan berselendang. Tetapi untuk majlis esok lelaki hanya boleh berbaju Melayu hitam bersamping hitam sulam emas atau long suit lengkap kecuali yang mempunyai pakaian istiadat atau pasukan keselamatan negara.
Cik Noor akan kongsikan lagi gambar-gambar terpilih dan koleksi peribadi dalam istana yang sempat Cik Noor rakamkan.
Entry Istana Negara amat sukar untuk Cik Noor siapkan.
Terima kasih sudi terus mengikuti blog ini.
:-)
; ) congrats!!!
ReplyDeleteTerima kasih..info berguna
ReplyDeleteTerima kasih..info berguna
ReplyDeleteTahniah..alhamdulillah
ReplyDeleteAlhamdulillah. Razeki cik noor. Cik pun dah masuk ke istana negara ka
Delete