Friday, 28 June 2013

DARI MADINAH AL-MUNAWWARAH KE MEKAH AL-MUKARRAMAH

Sabtu 8 Jun 2013 bersamaan 29 Rejab 1434 Jemaah AzZuha group 1 akan bertolak ke Mekah. Cik Noor memang dah tak sabar-sabar kerana di Madinah Cik Noor dapat lihat kesan-kesan sejarah selepas Rasulullah berhijrah sedangkan hometown asal Rasulullah adalah di Mekah malah lebih tepat di kawasan wadi Bani Hasyim berhampiran dengan kaabah yang didirikan oleh Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail.

Ini adalah gambar-gambar di hotel Mubarak Madinah yang kami stay sepanjang kami di Madinah.


Taklimat di ruang legar/lobi hotel berkaitan perjalanan aktiviti di sini.  Kumpulan kami akan bertolak ke Mekah selepas Zohor maka semua diingatkan supaya solat jama' ta'dim (himpunkan Asar ke dalam Zohor). Terpulangkan jika nak diqasarkan atau tidak.

 Cik Noor mula terfikir jauh kot perjalanan sebab kena solat jamak. Mulanya Cik Noor ingatkan 2 jam sahaja tapi dimaklumkan lebih kurang 4-5 jam.  Ohhhh jauh rupanya, Cik Noor mula terfikir bagaimana Rasulullah berhijrah dulu tanpa jalan raya meredah gurun pasir berbatu tanpa pepohon rendang tempat berteduh. Inikan kita yang naik bas 4 jam pun dah mula mengeluh jauh.....

Ini restoran makanan segera milik orang Arab ala-ala KFC / McD.


Yang paling Cik Noor faham ialah "matd'am" tapi makanan dari caterer sini tak sedap sebab masakannya seperti masakan Indonesia dan nampak sangat dominasi di hotel ini adalah jemaah Indonesia. Mereka mendapat lokasi makan yang luas tetapi jemaah Malaysia diletakkan di hujung dan berkongsi dengan banyak agensi.  Selain AzZuha Travel terdapat juga kumpulan Bank Rakyat dan lain-lain. Di sini Cik Noor tak risau sebab Cik Noor boleh makan kat luar jika lapar. Harganya juga berpatutan dan sedap. Alhamdulillah, selera Cik Noor di sini tak berkurang malah bertambah. Ada orang tegur nampak tembam semasa mula sampai Penang. Hehehehehe... petua duduk di tanah suci "mulut mesti cakap yang bagus-bagus kita akan rasa selesa." Minda kita akan set positif bagi semua perkara tapi sentiasa berwaspada juga.

Isyak, Maghrib, Asar, Zohor, Subuh (Fajar hehe kalau cari waktu solat subuh alamat tak solat ler korang)
Mulanya Cik Noor rasa macam susunannya pelik, tapi bila baca dalam bahasa Arab barulah jadi betul sebab bacaannya dari kanan ke kiri makanya susunan sebenarnya:
Subuh (Fajar), Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak
ini pun optical illusion jugak bagi Cik Noor.........



 Waktu solat pada 8 Jun 2013. ni waktu pukul 7 pagi suhu dah mula naik ke 27 celcius dan ia akan naik mendadak pada jam 9 pagi membawa ke tengahari. Azan subuh akan dikumandangkan 2 kali iaitu sejam awal dari waktu sebenar bertujuan untuk mengejutkan insan-insan yang leka diulit mimpi. Jika malam Cik Noor akan lelap lebih kurang jam 11 malam dan Cik Noor tetap akan bangun jam 3 pagi walau pun tidak set alarm. Alhamdulillah. Cik Noor akan tidur 4 jam dan tidur yang nyenyak tanpa gangguan.



Mubarak al-Madinah Hotel. Walau nampak ringkas tapi dalamnya amat selesa macam hotel Quality KL.

Kunci pintu bilik Cik Noor bersama Che Mah dan Makdak.

Ketika kami di Madinah seluruh kawasan berdekatan telah mengalami gangguan elektrik mulai waktu selepas Asar pada hari Khamis 6 Jun hingga 7 Jun 2013 lebih kurang jam 10.00 malam. Kami dimaklumkan bahawa berlaku letupan di bangunan lain di belakang hotel kami dan seluruh kawasan hanya menggunakan generator sebagai penyumbang tenaga sementara. Selama ketiadaan eletrikk Cik Noor dan rakan-rakan terpaksa bergantung kepada lif bomba untuk naik ke tingkat 9. 

Akhirnya, ada kalanya Cik Noor terpaksa mengajak ibu saudara memanjat tangga dengan kaedah naik setingkat dan berehat sekejap.  Di hotel tersebut kami terpaksa berebut-rebut dengan jemaah Indonesia yang ramai. Adakalanya mereka lebih mendominasi lif dengan berasakan antara lelaki dengan perempuan sedangkan Cik Noor tidak sanggup berasakan demikian seringkali terlepas ke belakang. Apa yang Cik Noor semaikan dalam diri ialah kita datang untuk beribadah sedangkan untuk ini kita terpaksa berhimpit dengan bukan mahram adalah suatu yang tidak wajar. sepatutnya satu lif diuntukkan untuk wanita dan satu lif diuntukkan untuk lelaki baru sesuai dengan konsep ibadah. Kadang-kadang Cik Noor sengaja membiarkan ruang untuk diisikan jemaah perempuan sahaja tetapi jemaah lelaki Indonesia seperti tiada batasan halal haram berhimpit macam tin sardin. Cik Noor rimas dengan situasi ini dan jika Cik Noor seorang sudah tentu hari-hari Cik Noor panjat tangga.

Kami tiba di Madinah lebih kurang 11.30 malam 4 Jun 2013 dan bertolak ke Mekah selepas Zohor 8 Jun 2013 (Sabtu)

Selepas usai solat Zohor dan makan tengahari masing-masing bergegas membuat persiapan untuk bertolak ke Mekah. Alahai.. beg kat madinah pun dah makin sendat bagaimana pula kat Mekah nanti. Nanti Cik Noor akan fikirkan bagaimana nak selamatkan keadaan beg yang kembung macam ikan buntal.

Kami bertolak menuju Miqat Bir Ali lebih kurang Pukul 2.30 petang. Sayu........... gambaran rasa hati Cik Noor sebab akan meninggalkan bumi al-Ansar yang menyantuni Rasulullah dan suatu bandar Islam moden yang dibangunkan oleh Rasulullah. Madinah merupakan sebuah Negara yang mempunyai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Malahan ia merupakan contoh pentadbiran moden yang sistematik dan berstrategi di bawah pimpinan Rasulullah.  

Cik Noor terdiam sejenak ketika bas yang Jemaah AzZuha Travel menelusuri jalan raya bertolak keluar dari Madinah. Apa yang Cik Noor tulis ini adalah rasa hati yang akan terpahat kukuh sebagaimana kecintaan umat kepada Rasulullah saw. Cik Noor jenguk keluar tingkap bas.. memperhatikan setiap lorong dan memerhatikan Masjid Nabawi yang kian menjauh..jauh... jauh... dan  sedikit demi sedikit hilang di celahan bangunan mengikut laluan jalan raya yang dilalui oleh bas. 

Cik Noor nak lihat puas-puas... puas-puas...... puas-puas..... Cik Noor nak lihat puas-puas lokasi yang Cik Noor lawati.. sebagai rivision terakhir sebelum meninggalkan Madinah yang entah bila lagi dapat Cik Noor kunjungi.  Cik Noor nak rakamkan semuanya dalam kotak fikiran Cik Noor biar ianya tercatat kukuh... Cik Noor berdoa semoga Cik Noor dapat datang lagi dalam tempoh terdekat.... Cik Noor lebih rindukan bumi ini dari melancong sekadar untuk bershopping.. 

Kalau ikut senarai daftar haji Tabung Haji Cik Noor akan mengerjakan haji pada tahun 2050 (pada usia 79 tahun) entah hidup atau mati dah ketika itu. Sayu.... pilu.... menerjah sanubari Cik Noor. Tanpa Cik Noor sedari bergenang air mata ini seolah-olah tidak mahu meninggalkan bumi Madinah yang penuh dengan keberkatan. Cik Noor akan merindui Masjid Nabawi yang masih banyak perkara yang Cik Noor belum dapat lihat antaranya "kuburan atas kubah hijau (yang sebenarnya tingkap atas kubah yang diseal bagi mengelakkan pencerobohan)", nak bersolat di masjid Juma'ah dan..... banyak lagi.

Cik Noor berusaha cari juga gambarajah di atas kerana ada kawan Cik Noor bagitahu cerita tentang kuburan atas kubah dan ianya ditulis panjang lebar dalam blog-blog tanpa bukti yang sahih.  Ustaz yang bawa Cik Noor tak ada pun cerita pasal ni so Cik Noor yakin misteri itu akan terungkai dan inilah yang Cik Noor dapat, mungkin ruang tingkap yang digunakan untuk mencuci di dalam dome itu dirantai supaya mengelakkan daripada dicerobohi, atau... ada carita tersendiri..... Moralnya "Apabila datang kepadamu membawa berita maka selidikilah siapa yang membawa berita itu..."

Ustaz Hassan Razak membacakan doa menaiki kenderaan. 

Makin menjauh... sedikit demi sedikit..........

Bas berhenti mengisi petrol.

Perjalanan diteruskan melalui lebuhraya ke Bir Ali.  Ustaz Hassan memberikan tazkirah sepanjang perjalanan. setelah hampir 2 jam kami sampai ke Bir Ali. Dari jauh sempat Cik Noor rakamkan sekeping dua gambar buat kenangan.

 Jalan raya tanpa garisan putih adalah fenomena biasa di sini.

Bas-bas jemaah memasuki kawasan parking di Bir Ali

 Bas yang kami naiki pun sedang parking. Kena ingat lokasi parking supaya tidak tertukar bas.
Menara Masjid Bir Ali ni unik dan berbeza dari masjid lain sebelum ini, Ia berbentuk 4 segi dan ada senibina yang senget seperti ruang tangga yang dibuat di luar.


Ke tandas untuk berwuduk bagi yang telah batal wuduk.


 Senibinanya agak unik kerana jika di sini senibina rumah tradisional Melayu ada juga dekorasi yang tajam-tajam berliku berbentuk "pucuk rebung" itu tetapi kedudukannya terbalik (lihat perbandingan di bawah). Cik Noor suka melihat sesuatu yang seni dan yang boleh mengingati Cik Noor kepada tempat yang istimewa yang Cik Noor lawati.
rumah tradisonal melyu untuk banding ukiran bumbung jer.. tak der rumah ni kat Arab yer.

Selepas semua selesai kami pun bergerak meninggalkan Bir Ali untuk menuju ke Mekah. Suatu perjalanan yang agak panjang.  Setelah masa menghampiri waktu Maghrib kami berhenti di RnR (hehehehe suka-suka jer Cik Noor letak nama) untuk solat maghrib, ke tandas dan makan minum.

Inilah bentuk RnR yang sempat Cik Noor rakamkan kerana waktu makin gelap.

Kat sini ada stasen minyak, ada gerai-gerai makan, musolla dan tandas. Tandas amat kotor dan amat daif. Sampah sarap bertaburan dan tikus mencicit tanpa takutkan kehadiran manusia. Cik Noor nak menjerit kegelian melihat bergerombolan tikus di kawasan tandas tetapi teringatkan pesan supaya jangan mengada-ngada di sana takut nanti ada perkara tak disenangi berlaku.  Cik Noor terus berkata "tikus pun makhluk Allah juga. Tak apalah dah itu cara hidup depa.."

 Kami berpakat untuk niat Jama' Ta'khir sahaja memandangkan ketidakselesaan beribadah dalam keadaan yang kotor. Walau pun Cik Noor agak geli dengan kekotoran di situ Cik Noor tetap melayan kerenah ibu saudara yang ingin menjamah roti nan. Kak Fazlina dan kak Fauziah membeli murtabak telur. Kak Fauziah belanja kami minum kopi. Segar sikit mata yang tadi kuyu.
 
Ayah Chin ada beli nasi berharga 35 Riyal... Tudiaaa setalam boleh makan 3 orang, jenuh Ayah Chin pelawa geng lain. Fuh dahsyat tul selera tok Arab.

Bila naik ke atas bas, Cik Noor terkejut melihat beg sandang Cik Noor berada di tengah laluan. Ada Jemaah yang tak turun memaklumkan ada perempuan Arab yang naik menggelidah beg tetapi belum sempat pengambil apa-apa beliau dah sempat sergah. Aduhai.... di mana-mana pun ada pencuri. Diingatkan para jemaah sentiasa berwaspada dan bawa duit dan barang bernilai bersama-sama jika turun bas.

Di gerai-gerai di situ dituliskan Az-Zain mungkin nama empunya kawasan tersebut kot seperti PLUS di sini.. Mungkin jer.... seganlah Cik Noor nak tanya kat tok Arab kat situ, tak larat nak barbahasa isyarat.

Tuesday, 25 June 2013

Alfatihah BUAT PENGHUNI PERKUBURAN BAQI' MADINAH

Bismillahirrahmanirrahim. Marilah sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada penghuni Jannatul Baqi' sempena anda membaca kisah yang Cik Noor akan lakarkan ini.

Alhamdulillah dapat juga Cik Noor snapkan gambar perkuburan Baqi' yang berhampiran Masjid Nabawi Madinah. Actually, jemaah wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan tetapi boleh berada di luar pagar perkuburan Baqi' untuk menjengah dari luar pagar. Cik Noor amat faham dan tidaklah terburu-buru menggesa jemaah untuk mengunjungi perkuburan Baqi' walau pun dalam hati bagai meronta-ronta untuk menjejakkan ke tanah perkuburan yang mulia iaitu yang mana penghuninya adalah antara yang awal akan dibangkitkan di hari Qiamat. Di sinilah dikebumikan para isteri Rasulullah (Kecuali ummul mukminin Saidatina Khadijah yang dikebumikan di perkuburan Ma'la Mekah), putera-puteri serta cucu Rasulullah saw, para sahabat dan muslimin muslimat yang meninggal dunia di Madinah.  Sepanjang berada di Madinah dan Mekah setiap kali selepas solat fardhu akan disusuli dengan solat jenazah. Kemudian jenazah itu akan dibawa dan disemadikan di perkuburan Baqi' yang bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Majlis pengkebumiannya cukup ringkas dan pantas. Tidaklah disulami talkin mahupun acara renjis air mawar dan bunga-bungaan seperti di Malaysia.

Cik Noor mengambil kesempatan merakamkan beberapa keping gambar kenangan untuk memahatkan ingatan Cik Noor ke tempat yang Cik Noor impikan selama ini.

Ini adalah dikawasan paling hujung. Lazimnya pengunjung akan berada di kawasn bertentangan Masjid iaitu di sebelah sana. Nun dihujung pagar kelihatan Masjid Nabawi

Cik Noor tak pasti binaan yang dibuat ditepi pagar perkuburan ini mungkin untuk jemaah menziarahi kuburan dan membacakan doa.

Rakaman gambar dari atas  bas ketika dalam perjalanan ke Masjid Quba'. Ketika ini jam 7 pagi.

Al-Fatihah dan salam buat insan-insan yang disemadikan di perkuburan mulia ini.

Cemburunya Cik Noor kepada penghuni kuburan mulia ini. Jannatul Baqi' kuburan mulia. Cemburu kerana jenazah mereka disolatkan oleh jutaan jemaah di masjid yang mulia dan dikuburkan dikuburan mulia. Namun InsyaAllah iman dan taqwa akan tetap menjadi perthitungan kemuliaan hamba di hadapan Allah.

Gambar di share dari blog lain gmbaran bahagian dalam kuburan Baqi'

Hanya batu pejal sebagai nisan. Tiada hiasan indah di atas kuburan yang mulia ini. Kekal begini selamanya.

PANORAMA BANDAR MADINAH DAN BUKIT MAGNET (MANTHAQATUL BAID- tanah putih) MADINAH

Madinah al-Munawwarah atau bandaraya moden yang bergemerlapan mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah untuk dilawati. Selain menyimpan khazanah berharga zaman Rasulullah saw penduduknya juga lebih berlemah lembut dan sopan. Kawasannya juga lebih teratur, terjaga dan bersih berbanding Kota Mekah.  Mungkin atas dasar masyarakatnya yang lebih bersopanlah maka mereka menyantuni Rasulullah saw lebih daripada masyarakat tempat kelahiran Nabi iaitu Mekah.  Sesuai dengan namanya ianya pesat membangun sebagai sebuah bandar moden berbanding dengan Mekah.  Pembangunannya lebih terancang dan sistematik.  

Jalan raya dalam bandar Madinah tidak dicat tetapi digantikan dengan penanda berbentuk bulat yang ditanam di atas jalan. Lihat bulatan-bulatan kecil kuning di atas jalan yang menggantikan cat jika di Malaysia.  Mungkin kerana ianya tahan dan tidak terkambus dek pasir kerana bentukknya yang melengkung seperti "button".


Sebelah kiri ialah kawasan lapang dijadikan padang bola. Di sini penduduk akan ber"rehlah" pada waktu malam atau musim dingin. Dalam musim panas penduduk di sini akan tidur selepas subuh kerana waktu malam yang pendek dan sejuk mereka akan beraktiviti.

 
Bangunan-bangunan moden dan komersial banyak terdapat di sepanjang jalan bandar Madinah

Beberapa lokasi riadah yang dijaga dengan baik

Masih pesat dibangunkan dengan bangunan-bangunan menjulang tinggi.

Mazra'ah atau ladang kurma. Madinah terkenal dengan kurma bermutu tinggi terutamanya kurma ajwa (dikenali sebagai kurma nabi oleh orang Malaysia). Kurma di tanam di kawasan wadi/lembah berair/aosis kerana ia memerlukan tanah yang sentiasa lembab.  Ketika bulan Jun dan Julai merupakan waktu kurma sedang masak yang mana cuacanya amat panas sekali.  Semasa Cik Noor berada di sana suhu tertinggi yang dapat Cik Noor catatkan ialah 54 celcius.
 

Gambar atas menunjukkan garisan tunjuk arah dan garisan parking yang ditanda dengan "button".
 
BUKIT MAGNET
(atau mungkin Optical Illusion di atas kekuasaan Allah jua)

Bila diumumkan bahawa ziarah kedua akan membawa kami ke Bukit Magnet Cik Noor sudah makin teruja. Tidak ramai rakan-rakan Cik Noor yang datang ke sini tidak dibawa ke kawasan ini kerana ianya terletak agak jauh dari Madinah.  Cik Noor ingin sangat merungkaikan misteri yang bersarang di dalam pemikiran Cik Noor ini. Walau pun jika ianya adalah suatu optical Illusion tetapi ianya memang menakjubkan.

Bukit Magnet terletak di luar Tanah Haram iaitu lebih kurang 30km ke arah kota Tabuk. Jika dari Madinah kedudukan Bukit tersebut akan berada di belakang dan bas terpaksa melawan tarikan graviti Buki Magnet menyebabkan bas tersebut terasa amat berat hanya mampu bergerak pada kelajuan maksimum 60-70 km/jam walau pedal minyak ditekan sehingga maksimum. Manakala jika ingin kembali ke Madinah kedudukan pusat daya tarikah graviti bukit Magnet berada di hadapan dan bas yang Cik Noor naiki bergerak pada kelajuan 110km/jam pada kedudukan "free gear". Kawasan yang diliputi oleh kuasa tarikan graviti bukit magnet adalah lebih kurang 2 km atau lebih. Sempat juga Cik Noor menjeling meter dan pedal minyak bagi memastikan pemandu itu bercakap benar. Ya memang benar, MasyaAllah.. Subhanallah.

Teringat Cik Noor tentang kisah bukit Magnet di Sarawak iaitu ianya adalah disebabkan ilusi mata kita akan nampak bukit itu menurun tetapi sebenarnya dalam kedudukan menaik. Hanya ilusi kita akan melihat seperti kawasan rendah sebenarnya tinggi tetapi kedudukan asalnya adalah sebaliknya. Dari pancaindera kasar Cik Noor, kawasan tersebut adalah kawasan yang landai tetapi kemungkinan juga ia sebenarnya adalah kawasan menaik bukit dan menurun bukit. Kalaulah ada sesiapa yang pergi kesana lagi Cik Noor berharap sangat dapat menrungkaikan misteri nusantara yang mengelabui kepala Cik Noor ni. Bawa penyukat air/ sebotol air mineral yang telah diminum airnya separuh untuk dibuat alat penyukat.
 
Cik Noor seperti ingin merungkaikan sesuatu yang berselirat dalam fikiran Cik Noor sendiri.  Ketika berada di sana tak ler pulak bawak botol air mineral yang selalu ada dalam beg... alahaiiii.. balik Malaysia rasa nak pi la pulak sukat air  kat bukit magnet.  Kena la pulak Cik Noor kumpul duit untuk ke sana InsyaAllah untuk buat Haji la pulak nanti.

Pokok-pokok yang di tanam di kawasan perkelahan Bukit Magnet kini kawasan ini mula popular di kalangan penduduk Madinah dan kawasan ini dijadikan kawasan perkelahan mereka dan ditanam dengan pohon-pohon rendang yang diselia dengan baik.
 

 
Tiang tanda sempadan kawasan tarikan graviti bukit Magnet


Sepanjang perjalanan ke bukit Magnet ini para jemaah dihidangkan dengan jajaran bukit-bukit batu yang terdapat dicelah-celahnya sedikit tumbuhan rumput-rumput yang kering kerana ketika Cik Noor berada di sana adalah musim panas. Walau pun begitu kegaringan panas tidak menghadkan aktiviti luar jemaah Az-Zuha yang masing-masing begitu bersemangat menjelajah seluruh pelosok muka bumi Haramain ini. 

 
Bukit-bukit bongkah batu yang mengepung kawasan bukit Magnet adalah terdiri dari mendapan larva gunung berapi.  Jika lihat secara biasa gambar yang Cik Noor Ambil ini adalah pada kedudukan Cik Noor berdiri di atas tanah dan camera yang Cik Noor pegang adalah pada posisi paling rata/sama dengan mengukur kedudukan pokok yang tegak tetapi kedudukan yang menarik pergerakan objek bergolek adalah ke arah bahagian yang kelihatan tinggi. Mungkin inilah yang dinamakan optikal illusion yang belum dapat Cik Noor jelaskan di sini kerana Cik Noor tidak membawa sebarang alat pengukur.

Inilah kawasan perkelahan penduduk di sini. Jika kita berkelah di kawasan air terjun tetapi penduduk Madinah akan berkelah di kawasan ini pada waktu malam hari. Mereka akan berBBQ, berkhemah dan membuat aktiviti-aktiviti riadah di kawasan ini.
 
Dikawasan ini enjin bas dimatikan di kawasan menurun bukit tetapi bas yang Cik Noor naiki setelah di matikan enjin ditarik dari belakang mendaki semula bukit kecil/gon seperti pemandu bas sedang reverse. Cik Noor menjeling juga lihat kepada gear yang berkedudukan neutral dan enjin dimatikan.  Memang sah bukan reverse. Tetapi kami tidak dibenarkan turun kerana sudah ada kemalangan maut yang mana pelawat turun dari bas dan berdiri di belakang bas untuk mengambi gambar tidak menyedari bas bergerak sendiri. Dari atas Bas Cik Noor dapat juga saksikan beberapa orang Arab menuangkan air di atas jalan dan air tidak mengalir menuruni gon sebaliknya ditarik naik ke atas gon.
 
Subhanallah,  mungkinkah ini suatu ilusi optik yang disebut-sebut di mana secara optikalnya kita akan melihat kawasan yang tinggi seperti rendah tetapi kawasan yang rendah seperti tinggi.  Sementelah pula kawasan ini landai kemungkinan pada kedududukan sebenarnya ianya kawasan menurun dan menaik bukit yang tinggi. Walaupun ianya sekadar ilusi optik tetapi Cik Noor tetap ta'ajub kerana Allah berkuasa di atas penciptaan yang secara kasarnya menipu otak kita untuk mentafsirkan maklumat yang dihantar oleh pancaindera mata ke otak. Jika kita berziarah dengan niat melihat kebesaran Allah maka kita akan dapat suatu "feel" yang tiada suatu ayat yang dapat menceritakannya. Maha suci Allah yang mengetahui setiap sesuatu yang diluar kemampuan manusia. Allah menjadikan setiap sesuatu supaya manusia berfikir dan bukan hanya menerima sesuatu itu dengan tanpa ususl periksa.